Monday, February 23, 2009

BERSIN & MENGUAP MENURUT ISLAM

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda
bermaksud: "Sesungguhnya Allah s.w.t. suka orang yang bersin, dan membenci orang
yang menguap. Maka apabila seseorang kamu bersin, lalu dia mengucapkan
'Alhamdulillah', maka adalah hak atas setiap Muslim yang mendengarnya pula
mengucapkan 'Yarhamukallah!'.

Adapun menguap itu adalah daripada syaitan. Maka apabila seseorang kamu menguap,
hendaklah dia menahannya sekadar termampu. Sebab sesungguhnya apabila
seseorang kamu menguap, syaitan akan mentertawakannya". (Hadith Riwayat Bukhari)

Daripada Abu Said Al-Khudri r.a. katanya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w. yang
bermaksud: "Apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia meletakkan tangannya
pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk (melalui mulut yang
terbuka)." Riwayat Imam Muslim

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang bersin, dan membenci orang-orang yang menguap. Maka apabila seseorang
kamu menguap, jangan sampai berbunyi, kerana yang demikian itu daripada syaitan
yang mentertawakanmu." Hadith riwayat Imam Muslim, Ahmad dan At-Tirmidzi

Daripada Abdullah bin Az-Zubair r.a. katanya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w. yang
bermaksud: "Sesungguhnya Allah s.w.t. membenci sesiapa yang mengangkat suara
ketika menguap dan bersin." Hadith riwayat Imam Muslim, Ahmad dan At-Tirmidzi

Pengajaran daripada maksud hadith, antara adab-adab menguap dan bersin:

1. Berusaha menahan menguap sekadar termampu terutama ketika solat.
2. Meletakkan tangan di atas mulut untuk menahan menguap sama ada di dalam atau di
luar solat.
3. Makruh mengeluarkan suara dan mengangkat bunyi ketika menguap atau bersin.
4. Sunat ketika bersin mengucapkan "Alhamdulillah" dan orang yang mendengarnya pula

mengucapkan "Yarhamukallah".
5. Sunat mengucapkan "Astaghfirullah" selepas menguap.

Wallahu Ta'ala 'alam

No comments: